Ahad, 29 Mac 2009

KEMISKINAN DAN KEKURANGAN BUKAN PENGHALANG MERAIH KEJAYAAN :

Satu hal yang menarik untuk dikongsi bersama di sini ialah tentang KEJAYAAN adik NIK NUR MADIHAH pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi (Perempuan) Kota Bharu yang mendapat keputusan CEMERLANG dan PELAJAR TERBAIK SPM 2008 yang diumumkan baru-baru ini dengan mendapat 20A. Apakah rahsia kejayaan beliau?
Kejayaan adik Nik Nur Madihah menarik perhatian semua pihak. Saya difahamkan ramai wartawan pergi ke rumah di Pengkalan Chepa, Kota Bharu untuk menemuramah beliau. Ekoran daripada itu, kalam ini juga terpanggil untuk berbicara tentang rahsia kejayaan beliau.
Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.
Bagi beliau, kemiskinan dan kekurangan bukan penghalang meraih kejayaan. Malah kemiskinan, kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan kedua ibu bapanya.
Beliau adalah anak sulung daripada empat adik beradik. Ayah dan ibu beliau bukannya orang berada. Ibu bekerja sebagai tukang sapu di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan ayahnya pula bekerja sebagai nelayan.
Apa yang menariknya, adik Nik Nur Madihah tidak menganggap dirinya genius, malah waktu belajarnya juga tidak menentu. Beliau juga tidak mengikuti kelas tambahan, belajar juga tak ada jadual. Tetapi kata beliau, “Saya belajar bila terasa nak belajar tanpa terpaksa atau dipaksa.” Itulah rahsia kejayaan beliau.
Hanya Pondok kecil yang menjadi tempat beliau sekeluarga berteduh daripada hujan dan panas. Rumahnya pula tak semewah rumah orang lain. Ayahnya menyewa dengan RM90 sebulan. Ruang untuk belajar juga adalah terhad. Malah tidak ada bilik khusus sebagai tempat beliau mentalaah pelajaran. Ruang tamulah menjadi tempat beliau mengulangkaji pelajaran setiap hari.
Anak sulung daripada empat beradik dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa ini bercita-cita meneruskan pengajian ke Timur Tengah dengan mendalami ilmu fizik. Moga-moga Allah SWT mempermudahkan segala urusan beliau.
Justeru itu, jadilah kejayaan adik Nik Nur Madihah pada hari ini sebagai dorongan untuk anda untuk memulakan langkah pertama untuk meraih kejayaan pada hari esok. Jangan jadikan kemiskinan, kesukaran dan kekurangan diri dan keluarga menjadi alasan dan penghalang untuk anda mencipta kejayaan. KALAU ORANG LAIN BOLEH BERJAYA, KENAPA ANDA TAK BOLEH ? Tanyalah diri anda pasti anda mengetahui jawapannya.

Khamis, 12 Mac 2009

Sunnatullah

Kita sebagai makhluk yang dijadikan oleh ALLAH mesti senantiasa memerhatikan Sunnatullah atau peraturan ALLAH ini kerana Sunnatullah itulah yang menjadi panduan hidup kita. Ertinya, kalau sudah ALLAH Sunnahkan yang satu-satu kejadian itu akan terjadi sedemikian rupa, maka itulah yang mesti kita ikuti. Dan Allah tidak sekali-kali akan menukar peraturannya itu. Bererti, kalau kita mengikut jalan-jalan selain daripada yang disunnahkan, maka akibatnya bukanlah sepertimana yang ALLAH kehendaki berlaku.Firman ALLAH :
Terjemahannya: Kamu tidak akan mendapati yang Sunnatullah itu bertukar ganti.(Al Ahzab: 62)Dan di dalam ayat lain ALLAH berfirman:
Terjemahannya: Sekali-kali kamu tidak akan mendapati yang Sunnatullah itu berubah-ubah.(Al Fatir: 43)Artinya, kalau memang sudah ALLAH tetapkan satu-satu peraturan itu akan berlaku sedemikian rupa, seperti tiap-tiap sebab itu membawa akibat, maka peraturan itu tetap tidak akan berubah. Misalnya, perkahwinanlah yang mengakibatkan adanya zuriat, atau makanlah yang mengakibatkan kenyang, atau belajar bersungguh-sungguhlah yang mengakibatkan pandai. Maka peraturan itu tetap akan terjadi demikian karena memang ALLAH yang menghendaki terjadinya demikian. Tidak ada siapa yang bisa mengubah peraturan itu.