Sabtu, 8 Ogos 2009

Guru Dan Kajian Tindakan

SABTU 8 Ogos 2009 - Aku berkesempatan untuk menghadiri satu jemputan Taklimat mengenai Kajian Tindakan yang dikelolakan oleh Institut Perguruan Guru Malaysia ,Kampus Sultan Abdul Halim.Sungai Petani.Aku fikir Kajian Tindakan ini penting untuk didedahkan kepada semua guru yang mementingkan kecemerlangan anak didiknya.


Pembentangan Kajian Tindakan

Hasil dapatan boleh aku nyatakan bahawa kajian tindakan merupakan satu kajian yang dijalankan dengan tujuan memecahkan masalah-masalah yang wujud dalam bidang pendidikan, terutamanya bagi masalah-masalah yang berkaitan dengan kualiti proses pendidikan dan pengajaran,atau mutu hasil pendidikan yang efisien, efektif, relevan dan lain-lain. Kajian tindakan ini tidak bermaksud mengembangkan ilmu, tetapi membaiki dan menyempurnakan latihan pendidikan. Bidang kajian yang biasa diselidiki adalah berkaitan kurikulum dan sistem pendidikan, sistem pengajaran, prasarana pendidikan, penilaian pendidikan, perpustakaan sekolah dan lain-lain lagi.


Namun apa yang penting untuk aku nyatakan di sini ialah dalam kita berusaha untuk menangani sesuatu masalah pengajaran dan pembelajaran, maka perlulah kita terlebih dahulu membongkar punca masalah tersebut sehingga ke peringkat akar umbi supaya langkah penyelesaian masalah tersebut memberi kesan penyembuhan yang mustajab dan berkesan. Sehubungan itu sebagai seorang guru dan pendidik, sewajarnyalah kita menjadikan amalan melakukan kajian tindakan ini sebagai budaya kerja kita sesuai dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Tiada ulasan: