Selasa, 5 Ogos 2008

Budi Seorang Guru

SEWAKTU aku memandang wajah pelajar itu, aku teringat luahan ibu, "Hari ini manusia memerlukan wang untuk mendapatkan pendidikan, bukan lagi memerlukan pendidikan untuk mendapatkan wang." Kata-kata itu dilafaz sewaktu aku dan kakak sulungku serentak berjaya melangkahkan kaki ke universiti.

Hari ini, aku benar-benar mengakui kata-kata ibu. Anak gadis itu menjadi bukti kata-kata ibu. Dulu, aku menganggap kata-kata itu keluhan semata-mata, tetapi hari ini aku benar-benar meyakini hal itu.

"Maaf cikgu, saya masih belum dapat bayar. Bapa minta saya sampaikan salam pada cikgu dan dia minta tangguh bayaran itu hingga ke bulan hadapan."

"Faizah, sepatutnya tarikh akhir bayarannya adalah seminggu lagi. Saya sepatutnya menyerahkan yuran SPM ini pada akhir minggu ini." Aku mengeluh sambil menangkap anak mata jernih Faizah.

"Saya tahu cikgu, tetapi bapa berjanji dia akan melangsaikan akhir bulan ini."

Wajahnya mengharap simpati.

Aku mencongak-congak akhir bulan itu. Hari ini baru awal bulan. Lebih kurang tiga minggu lagi. Aku menggeleng-geleng kepala.

"Baiklah, awak balik dulu. Saya akan usahakan nanti." Aku menyandar dan kata-kata ibu menyerkap benakku.Faizah beredar dari bilik guru itu. Cikgu Hilwana datang menghampiriku.

"Mengapa?" Tanya cikgu lepasan UKM itu. Wajahnya ghairah untuk mengetahui.

Aku tersenyum melihat kerut pada dahi Cikgu Hilwana. Setiap kali ada pelajar perempuan yang datang berbual-bual denganku, pastilah dia tidak segan-silu bertandang ke mejaku. Adakah wanita itu cemburu melihat kemesraanku dengan pelajar perempuan? Atau yang lebih tepat adakah wanita itu menaruh hati padaku?

"Mengapa?" Aku ingin menduga perasaannya. Dia mengerut dahinya lagi. "Mengapa mengapa?" Dia kebingungan. "Mengapa cikgu tanya?"

"Oh, tidaklah. Saya pernah mengajar Faizah. Sejak tingkatan dua lagi. Waktu PMR dia bermasalah kewangan sehingga terlambat membayar yuran peperiksaan. Lewat sebulan dari tarikh yang dijanjikan." Cikgu Hilwana mengukir senyuman. Senyuman itu untuk akukah? Atau ada kilasan sindiran?

Aku malu sendiri kerana menyangka bukan-bukan. Namun, tindakannya benar-benar ghairah bertanyakan urusan aku, menimbulkan takjub juga.

"Sekarang masalah sama?" soal Cikgu Hilwana apabila tidak mendapat respons daripadaku.

Aku mengangguk-angguk. Aku terdiam seketika seolah-olah menunggu respons lagi daripada Cikgu Hilwana. Guru-guru lain keluar masuk, sepintas lalu melihat kami berdua. Tentulah pada pemikiran mereka sudah berbunga sangkaan bukan-bukan. Mereka tahu, Cikgu Hilwana berusaha untuk mendekati aku sedangkan aku sendiri melayan Cikgu Hilwana biasa sahaja. Biarkan mereka dengan sangkaan itu.

"Dulu macam mana yang cikgu buat?" Aku cuba mengorek sejarah Faizah apabila Cikgu Hilwana terdiam. Barangkali, dia agak malu apabila hanya dia sahaja yang bercakap. Tentulah, diakan masih seorang anak gadis.

"Saya terpaksa tangguhkan dulu pembayarannya. Saya cadangkan dahulukan duit saya, tetapi dia berkeras menolak. Katanya, bapa melarang menerima duit daripada orang lain," jelas Cikgu Hilwana dengan suara separuh berbisik seperti kata-katanya sebentar tadi rahsia besar.

Aku tahu mudah benar mengorek rahsia daripada cikgu perempuan ini. Mulutnya tidak lokek untuk memberitahu orang tentang rahsia yang berlaku di bilik guru ini, dan juga rahsia yang berlaku di sekolah ini. Lebih-lebih lagi kepadaku. Aku tersenyum lagi.

"Mengapa sampai begitu sekali?"

Cikgu Hilwana mengangkat bahu dan dia tersenyum. Senyuman itu seolah-olah menggoda. Aku meminggirkan perasaan itu. Cikgu Hilwana kembali ke mejanya.



Aku memasukkan duit ke dalam sampul surat. Sampul itu aku letakkan dalam buku Faizah. Sewaktu aku berbuat demikian, kata-kata ibu terngiang-ngiang di telinga, "Hari ini manusia memerlukan wang untuk mendapatkan pendidikan, bukan lagi memerlukan pendidikan untuk mendapatkan wang."

Tidak lama kemudian, Faizah datang mengambil buku-buku latihan kelasnya. Dia mampir ke mejaku dengan keadaan malu alah. Dia masih belum dapat membayar yuran walaupun masa yang dijanjikan sudah berlalu.

Setelah Faizah beredar dari bilik guru, aku menunggu-nunggu kedatangannya seolah-olah bersiap sedia untuk menerima kembali pulangan daripada Faizah. Seolah-olah aku yakin dia akan menolak pertolongan aku ini. Dan sebenarnya aku sendiri mengharapkan dia memulangkan kembali wang itu supaya perancangan aku untuk bertemu bapanya berjaya.

"Apa yang cikgu senyum-senyumkan itu?" Siapa lagi, kalau bukan Cikgu Hilwana yang menegurku. Aku tersengih sambil menggeleng.

"Macam mana? Faizah sudah membayar yurannya?" Tanya Cikgu Hilwana dengan senyuman tetap menggoda. "Setakat ini belum lagi. Tunggulah nanti, saya yakin dia dapat melangsaikan juga bayarannya." "Kalau sudah tidak mampu, elok berhenti sekolah sahaja. Orang macam dia tu bukan payah nak cari kerja. Rupa ada. Lebih elok terus dikahwinkan." Luah Cikgu Hilwana dengan nada jengkel. Aku tidak tahu ke mana jengkelnya tumpah.

Aku terdiam. Kata-kata itu bagaikan petir yang membelah bumi. Bagiku, kata-kata itu tidak sepatutnya diucap seorang pendidik seperti Cikgu Hilwana. Tiba-tiba perasaan benci mula mendadak menyerang diriku. Cikgu Hilwana tidak patut mengatakan demikian.

"Kalau golongan pendidik macam kita pun beranggapan begitu, alahai, macam manalah masyarakat kita hendak berubah." Sindirku sambil mengambil buku dan berpura-pura memeriksa.

Cikgu Hilwana terkesan dengan sindirian tersebut. Dia meninggalkan aku keseorangan. Biarlah, biarlah hatinya terasa pada hari ini. Esok lusa nanti dia akan mengerti bahawa golongan pendidik tidak sepatutnya meletakkan wang setaraf dengan pendidikan. Dua benda saling berkait tetapi tidak harus dikembarkan.



Pagi itu, lewat daripada yang aku jangkakan, sewaktu aku sampai ke bilik guru, Faizah sudah tercegat menantiku. Aku tidak menghiraukannya, terus masuk dan duduk.

Faizah mendekati mejaku. Perlahan, dia meletakkan sampul surat. Dia memulangkan duit pemberianku.

"Bapa sampaikan ucapan terima kasih. Bapa pohon maaf kerana tidak dapat menyediakan bayaran. Bapa kata lebih baik saya berhenti daripada terhutang budi."

Kata-kata itu bagaikan halilintar membelah bumi. Lebih pedih daripada kata-kata Cikgu Hilwana semalam. Aku mengesan ego seorang bapa dan aku memerhati pilu seorang anak.

Mata Faizah berkaca. Seperti terlupa untuk mengucapkan salam, dia lari dari situ.

"Faizah! Saya perlu jumpa dengan bapa kamu." Aku bangkit sehingga kerusi terdorong ke belakang dan jatuh.

Faizah terhenti dan tersentak. Dia menggeleng-geleng kepala.

"Tidak perlu. Saya sudah menghantar surat berhenti sekolah kepada pengetua pagi tadi. Saya hanya datang untuk mengucapkan terima kasih atas kebaikan cikgu." Suara Faizah tersekat-sekat dan matanya berkaca. Aku tahu dia sebak.

"Tetapi…" Faizah berlari dari situ. Guru-guru yang lain terkejut dengan drama pagi itu. Masing-masing melontarkan pandangan ke arah aku. Cikgu Hilwana juga memandangku tajam. Aku tidak tahu maksud pandangan itu, cemburu atau mengejek atau barangkali simpati?



Hari itu aku gagal mengesan Faizah. Benarlah, dia sudah berhenti sekolah. Aku bertemu dengan pengetua. Dia sendiri gagal untuk memujuk Faizah meneruskan persekolahan. Namun, aku merasakan pengetua sendiri tidak ikhlas memujuk Faizah. Yang penting, Faizah belum berdaftar untuk SPM dan apa-apa terjadi, keputusan SPM sekolah tidak akan terjejas. Aku memandang jueh pandangan pengetua sebegitu. Namun, aku tidak menyanggahnya. Biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya. Cuma aku berjaya mendapatkan simpati pengetua menunda surat berhenti sekolah itu.

Akhirnya, aku memberanikan diri ke meja Cikgu Hilwana; suatu tindakan yang tidak pernah aku lakukan sebelum ini. Barangkali, Cikgu Hilwana berbangga dengan kejadian itu. Cikgu Hilwana merenungku, seperti yang aku selalu buat apabila dia mampir ke mejaku.

"Cikgu, saya mahu minta tolong." Aku memandangnya dan mencari simpati pada wajah putih bersih itu.

Cikgu Hilwana tersenyum, senyuman kemenangan. "Apa dia?" Dia merenung tajam sehingga pandangan kami saling bertaut. Aku melihat air matanya jernih. Sinar apakah itu? "Bawa saya ke rumah Faizah. Pelajar-pelajar saya seorang pun tidak pernah ke rumah Faizah. Tetapi mereka kata cikgu pernah sekali dulu ke sana." Aku menolak getaran di dada.

"Cikgu benar-benar mintakah?" tanya Cikgu Hilwana sambil melebarkan senyuman.

Kalaulah tidak kerana aku ingatkan Faizah, nescaya aku meninggalkan guru perempuan itu sekarang juga. Soalannya bagaikan satu isyarat kemenangan besar baginya. Kemenangan untuk menundukkan keegoanku selama ini. Namun, biarlah aku tebalkan muka pada hari ini. Kata-kata ibu semakin kuat kedengaran di gegendang telinga.

"Ya. Hanya cikgu yang dapat menolong saya." Aku mengetap bibir seperti menyatakan kekalahan. "Baiklah. Malam nanti cikgu ambil saya di rumah." Cikgu Hilwana akur dengan pandangan lembut. Sinar matanya persis pandangan ibu.

"Tetapi mengapa malam?" Aku kaget.

"Mengapa? Cikgu takut kena tangkap basah?"

Gurauan Cikgu Hilwana menakutkanku. Aku pura-pura tersenyum.

"Dengan orang yang secantik cikgu, tentulah bimbang!" Biarkan aku mengusik begitu sehingga dia benar-benar ingin menolongku.

Cikgu Hilwana tersenyum. "Ayahnya hanya ada di rumah pada waktu malam. Kalau kita pergi petang begini, alamak kita terpaksa menunggu di tepi pantailah. Cikgu tentu tidak mahu 'berkelah' dengan saya," rajuk Cikgu Hilwana. Mulutnya memuncung.

Aku meninggalkan Cikgu Hilwana selepas mengucapkan terima kasih. Biarkan Cikgu Hilwana berbunga-bunga hatinya mengenangkan kemenangan itu. Apalah sangat kekalahan itu berbanding kemenangan mengembalikan Faizah ke alam pendidikan. Kata-kata ibu masih keras di telinga.



Aku dan Cikgu Hilwana sampai ke rumah itu setelah hari benar-benar gelap. Rumah itu bukanlah benar-benar sebuah rumah dalam pengertian yang sebenar. Dindingnya adalah daripada papan lapis yang sudah terlalu uzur dan lama. Malah, sudah pun didiami oleh bubuk kayu. Warnanya sudah kelabu kehitam-hitaman. Atap rumah itu diperbuat daripada anyaman daun rumbia kering yang aku kira sudah bocor di sana-sini. Rumah itu terlalu dhaif, sepatutnya sudah tidak ada ketika Malaysia berkira-kira mahu menjadi negara maju.

Seorang lelaki berada di muka pintu rumah. Dia sudah lama di situ kerana jalan yang becak dan berlopak-lopak yang masuk ke situ hanya menuju ke rumahnya sahaja. Sudah tentulah dari jauh lagi, dia sudah menyedari kedatangan kami.

Aku memberi salam dan menyebut namanya. Pak Samad termangu-mangu kerana aku mengenali namanya. Masakan tidak, aku guru kelas anaknya [bekas guru kelas sebenarnya].

"Saya Cikgu Azmi, guru kelas Faizah. Dan ini Cikgu Hilwana." "Oh. Faizah selalu bercerita tentang Cikgu Azmi." Pak Samad angguk berpuas hati. Aku menjeling Cikgu Hilwana, dia melirikkan pandangan ayu itu. Aku mengesan cemburu pada sinar itu. Ah, wanita ini!

Aku naik ke rumahnya. Ruang tengah rumah itu hanya berbilik satu. Itu pun bilik itu dibentuk oleh kain yang sudah uzur dan berlubang di sana sini. Rumah itu hanya berpelita minyak tanah, tidak ada kemudahan elektrik. Aku terkedu dalam negara sibuk membincangkan Wawasan 2020, masih ada rumah tidak dilengkapi kemudahan asas itu.

"Saya datang ni untuk berbincang pasal Faizah." Aku memulakan bicara. Pak Samad mengisarkan punggungnya. Aku lihat air mukanya berubah. Barangkali dia tidak senang hal anaknya dibangkitkan.

"Maaflah cikgu. Saya terpaksa berhentikan Faizah. Adik-adik dia tu ramai lagi. Dengan tulang empat kerat ni, saya tak berdaya untuk menyekolahkan Faizah." Suara itu sebak. Namun, aku tahu Pak Samad tidak akan menangis kerana dia seorang yang ego.

"Tapi bukanlah waktu sekarang. Tahun ni Faizah akan SPM. Dia ada potensi untuk berjaya dan melangkah ke universiti. Rugilah kalau kemampuannya itu disia-siakan."

Suasana senyap sunyi. Hanya berbunyi cawan bertingkah di dapur. Barangkali Faizah dan ibunya sibuk di dapur. Tidak lama kemudian, Faizah keluar dari balik tabir menantang dulang. Dia menghidangkan air teh.

"Maaflah cikgu, teh kosong sajalah. Minumlah." Wajah Faizah pilu. Perbualan kami terganggu. Aku mengangguk-angguk. Aku menghirup teh wangi itu. Suasana sunyi seketika ketika kami menikmati teh panas pada malam yang dingin itu. Aku tidak tahu sama ada Cikgu Hilwana, anak kota kosmopolitan betah berada begitu.

"Bukan saya tak tau cikgu. Tapi apa yang saya nak buat, kami ni orang miskin. Tak terdaya nak menyekolahkan semua anak-anak kami. Biarlah setakat sekolah menengah sahaja, cukuplah. Bolehlah nanti Faizah kerja kilang." Ternyatalah Pak Samad masih berkeras.

"Saya sanggup dahulukan wang saya untuk yuran SPM Faizah."

Kata-kataku itu membuatkan Pak Samad tersentak. Wajahnya mula berubah menjadi tegang. Dia tampak kurang senang apabila aku menimbulkan soal wang itu. Benarkah Pak Samad terlalu ego?

"Maaflah cikgu. Saya tak dapat terima budi cikgu." Tolak Pak Samad dengan suara sedikit keras.

"Tetapi mengapa? Saya ikhlas pak cik." Aku tidak mahu masa depan Faizah musnah hanya kerana ego seorang bapa. Cikgu Hilwana hanya mendiamkan diri.

"Dua orang kakaknya terpaksa saya kahwinkan kerana terhutang budi, Cikgu…"

Pak Samad sebak. Faizah tunduk. Barulah rahsia keegoan seorang bapa terlerai malam ini. Rahsia yang tidak berjaya disingkap Cikgu Hilwana, tidak juga pengetua, dan tidak juga cikgu-cikgu yang lain.

"Kerana menerima budi orang lain dan tidak dapat membalas budi tersebut, mereka meminta anak-anak saya. Dua orang kakaknya sudah hilang daripada keluarga kami. Hilang dan tak akan kembali. Saya tidak mahu peristiwa itu berulang lagi pada Faizah. Biarlah dia begitu daripada…"

"Pak cik seperti meragui keikhlasan saya." Aku tidak sepatutnya mengucapkan demikian. Cikgu Hilwana merenungku bagaikan mahu menyatakan aku silap. Biarlah, seorang bapa yang ego perlu diajar begitu.

"Maaf cikgu. Saya terpaksa berhati-hati."

Aku mengeluh. "Pak cik fikir saya menaruh hati pada Faizah?" Desak aku meneruskan keterlanjuran bicara.

Pak Samad merenungku. Aku bagaikan mengerti renungan itu bagaikan menduga keikhlasanku. "Dari cara Faizah bercerita cikgu mengambil berat tentang dirinya, pelajarannya, saya tidak dapat menolak kemungkinan itu. Apatah lagi cikgu masih belum kahwin dan muda lagi." Pak Samad nyatalah berterus-terang. Aku senang begitu.

"Saya mengambil berat atas dasar saya gurunya dan dia pelajar." Sangkalku dengan suara lembut.

"Tetapi mengapa dilebihkan Faizah?" Sanggah Pak Samad. Dia mengetap bibir.

Nyatalah keraguannya terlalu tebal. Prasangkanya terlalu hebat.

"Kerana Faizah mempunyai potensi untuk cemerlang. Malangnya, Faizah tidak berkemampuan. Sebab itulah saya melebihkan tumpuan kepada Faizah. Pelajar saya yang lain juga berpotensi, tetapi mereka mampu mendapatkan kemudahan. Tidak Faizah." Biarlah malam itu menamatkan keraguan dan prasangkanya.

"Saya… saya…" Pak Samad hilang kata-kata. Barangkali, dia terkedu dengan keraguannya sendiri.

"Lagipun, saya dan Cikgu Hilwana sudah merancang untuk berkahwin!"

Bukan sahaja Pak Samad dan Faizah yang terkejut, bahkan Cikgu Hilwana sendiri tersentak. Mujurlah wanita itu dapat mengawal diri.

"Benarkah cikgu?" Pak Samad menghalakan pertanyaannya kepada Cikgu Hilwana. Cikgu Hilwana terkejut. Dia mengatur bicara.

"Ya… ya… kami merancang untuk berkahwin bulan depan."

Kali ini aku pula yang terkejut dengan keterlanjuran Cikgu Hilwana. Apabila aku mengalih pandangan ke arah Cikgu Hilwana, wanita itu tersenyum. Barangkali mahu menghukum aku atas keterlanjuran tadi. Nampaknya, kami saling berperang antara satu sama lain. Atau mungkinkah kami saling bertarik-tali? Namun, aku tidak ada pilihan lain untuk meyakinkan Pak Samad selain daripada mengakui perhubungan dengan Cikgu Hilwana.

Pak Samad kelihatan mengendur. Aku mengesan keraguannya semakin terhakis. Dia menatap wajah Faizah, bagaikan melihat kesayuan yang ada pada anaknya itu.

"Biarlah, buat sementara waktu ini, andainya Pak Samad tidak keberatan, kami berdua menanggung perbelanjaan Faizah. Awal perkahwinan kami pastinya tidak menggunakan wang yang banyak. Sempatlah kami menanggung Faizah sehingga Faizah melanjutkan pengajiannya di universiti nanti. Di universiti nanti, sudah disediakan kemudahan pinjaman wang." Aku memandang wajah Pak Samad yang serba-salah itu. Biarlah juga keterlanjuran kata-kata itu, aku panjangkan lagi untuk menundukkan keegoan Pak Samad, menyelamatkan masa depan Faizah dan menguji Cikgu Hilwana.

Pak Samad mengangguk-angguk kecil. Aku yakin, usahaku pada malam itu telah berjaya. Tentunya dengan pertolongan Cikgu Hilwana.

"Kami minta diri dulu. Tak elok kalau saya hantar Cikgu Hilwana lewat malam. Walau sudah bertunang, tentu masih tidak manis." Ujarku menduga Cikgu Hilwana. Cikgu Hilwana tersenyum mengiyakan. Namun, aku kira pandangannya seperti mahu menerkamku.

Pak Samad mengangguk buat kesekian kalinya. Anggukan yang bagiku sudah cukup memberikan kemenangan kepadaku.

"Surat berhenti yang Faizah serahkan kepada pengetua ada di tangan saya. Kalau Faizah ke sekolah esok, dan saya berharap benar-benar Faizah ke sekolah esok, maka surat itu saya akan lupuskan." Tambahku ketika bersalam dengan Pak Samad.

"Terima kasih cikgu." Ucap Pak Samad dengan suara yang kendur. Faizah hilang bicara. Matanya berkaca, lalu pecah berderai tangisan dalam diam. Aku kira air mata itu adalah ucapan terima kasih yang tidak ternilai.

Sewaktu dalam kenderaan, Cikgu Hilwana tersenyum. "Benarkah?" dia bertanya. Aku ketawa berdekah-dekah. Cikgu Hilwana bungkam.



"Kepujian kelas pertama, Jurusan Kejuruteraan Elektrik, Faizah binti Abdul Samad."

Faizah naik ke pentas. Hari ini, Faizah sudah bergelar graduan. Aku terngiang-ngiang kata-kata ibu, "Hari ini manusia memerlukan wang untuk mendapatkan pendidikan, bukan lagi memerlukan pendidikan untuk mendapatkan wang."

Aku duduk di kerusi tersenyum. Barangkali kata ibu benar, tetapi nyatalah aku membuktikan bahawa manusia juga memerlukan budi untuk mendapatkan pendidikan! Aku meraih tangan isteriku, Hilwana. Isteri yang aku dapati sewaktu aku cuba memberikan budi dengan ikhlas kepada Faizah. Barangkali, Cikgu Hilwana adalah hadiah yang paling awal aku terima sebelum aku sempat berbudi kepada Faizah!

Tiada ulasan: