Khamis, 28 Ogos 2008

PPSMI: Belum muktamad

Persidangan Meja Bulat Pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hari ini gagal mencapai keputusan sama ada dasar tersebut perlu diteruskan atau sebaliknya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, ini kerana sebahagian peserta mahu PPSMI diteruskan manakala sebahagian lagi mahu ia kembali kepada asal.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan beberapa lagi persidangan sebelum keputusan muktamad mengenainya diumumkan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada akhir Disember tahun ini.

''Kedudukan sekarang boleh dikatakan 50-50," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan persidangan itu di sini hari ini.

Seramai 106 peserta mewakili 29 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 30 individu, sembilan agensi kerajaan, empat pegawai tertinggi Kementerian Pelajaran, 17 pegawai serta pihak urus setia menyertai persidangan itu hari ini yang turut melibatkan pembentangan enam kertas kerja.

Alimuddin berkata, kumpulan yang mewakili NGO berkaitan ekonomi dan ibu bapa mahu supaya dasar berkenaan diteruskan dengan alasan ia mampu melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global.

Sebaliknya, peserta yang mewakili tokoh pendidik pula mahu pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Melayu kerana berpendapat pelajar akan lebih mudah menguasai kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa ibunda.

''Terdapat juga pandangan yang berharap pindaan dibuat terhadap dasar ini supaya ia hanya dilaksanakan di sekolah menengah atau di tahap kedua sekolah rendah dengan alasan pengetahuan asas perlu diperkukuh di peringkat awal persekolahan," katanya.

Alimuddin berkata, bagi mendapatkan lebih banyak pandangan berhubung pelaksanaan PPSMI, kementerian akan menganjurkan persidangan sama Oktober ini membabitkan penyertaan guru dan pelajar.

Selepas itu, ujarnya, pertemuan juga akan diadakan bersama ahli-ahli Parlimen bagi mendapat pandangan mereka berhubung PPSMI.

Sementara itu, Alimuddin berkata, kejayaan PPSMI banyak bergantung kepada kesungguhan pengetua dan guru besar sekolah.

''Jika mereka sentiasa memberi penekanan bagi memastikan program ini dijalankan, ia akan dapat dilaksanakan dengan mudah ditambah dengan penguasaan guru dalam Bahasa Inggeris," katanya.

Tiada ulasan: