Isnin, 4 Ogos 2008

Kepimpinan

Peranan Pengetua Dalam Pengurusan Sekolah

Beberapa teori kepemimpinan telah muncul dan banyak dibahaskan oleh golongan bijak pandai dalam usaha uuntuk melahirkan kepemimpinan yang berkesan. Di antaranya ialah teori kepemimpinan karismatik. Kini, teori karismatik tidak lagi merupakan sebagai angkubah utama untuk kejayaan kepemimpinan pengetua. Teori ini adalah terkenal dan menjadi panduan pada peringkat awal pengkajian dahulu setelah melihat kepada perkembangan sejarah bahawa pemimpin-pemimpina yang terkenal adalah terdiri dari mereka yang mempunyai peribadi yang menarik dan disenangi. Walaupun teori ini bukanlah faktor penentu kejayaan dalam kepemimpinan hari ini tetapi ini adalah asas yang perlu ada kepada seorang pemimpin.

Satu lagi teori kepemimpinan yang selalu dibincangkan ialah teori perhubungan kemanusiaan. Dalam teori ini, pemimpin yang berjaya adalah terdiri dari pemimpin yang dapat memberi perhatian yang berat kepada tugasnya, dan mewujudkan kerjasama dengan orang-orang bawahannya. Di sini kita dapati sekiranya seorang pemimpin itu tidak menghargai pandangan dan usaha orang-orang di bawahnya maka tentunya kerjasama tidak akan berlaku dan dengan itu nescaya tidak akan dapat melahirkan satu bentuk kepemimpinan yang berkesan. Dalam konteks sekolah, guru-guru di bawah seliaannya mungkin mempunyai pandangan dan idea yang lebih bernas dari dia sebagai seorang pemimpin. Oleh itu pandangan dan sifat kepemimpinannya tidak sepatutnya bersifat autokratik. Sifat ini tidak akan melahirkan corak kepemimpinan yang berkesan tetapi di sebaliknya akan lahir guru-guru yang bersifat kayu mati (dead woods) kerana mereka akan bosan dengan kerenah seorang pengetua yang tidak mahu mendengar pandangan dan buah fikiran orang lain, kerana menganggap dia adalah lebih bijak dan pandai dari orang di bawah kawalannya.

Mcgregor pula telah memperkenalkan teorinya yang dipanggil teori X dan teori Y. Dalam teori ini secara ringkasnya dapat dirumuskan bahawa sekiranya seseorang pemimpin (pengetua) itu menganggap orang-orang bawahannya malas dan tidak bertanggungjawab, maka lama-kelamaan mereka akan menjadi sebagai orang malas dan tidak bertanggungjawab. Di sebalikya, jika pemimpin itu menganggap orang-orang di bawahnya itu rajin dan bertanggungjawab, maka mereka akan lahir sebagai seorang yang rajin dan bertanggungjawab. Dalam teori ini konsep menghargai dan meletakkan martabat orang-orangnya adalah juga sebagai penentu kejayaan sesuatu kepemimpinan itu.

  • Setelah melihat kepada teori-teori tadi banyak diperbahaskan, maka timbul pula satu teori yang lebih menjuruskan kepada keadaan semasa. Teori ini dipanggil teori Kepemimpinan Mengikut Situasi (Situational Leadership Theories). Mengikut teori ini, keadaan yang berbeza memerlukan kepada corak kepemimpinan yang berbeza. Melalui teori ini dapatlah kita rumuskan bahawa pengetua hendaklah pandai dengan budaya dan suasana persekitaran. Setiap sekolah mempunyai iklim sosial yang berbeza. Banyak faktor yang perlu diambil kira. Bermula dari suasana dalam sekolah, persekitaran di luar sekolah, budaya masyarakat setempat dan sebagainya. Oleh itu pengetua hendaklah bijak menggunakan daya kepemimpinan yang ada padanya. Pengetua harus bijak supaya tidak timbul satu kejutan kepemimpinan yang boleh menimbulkan ketegangan kepemimpinan oleh guru-guru dan masyarakat sekitar.

    Tiada ulasan: